Alumni

Jumaat, 1 Mei 2020

HaRi BuRuH 2020

- Hari 45 PKP : 8 Ramadhan -

Memahami Makna Hari Buruh

Selain dari cuti umum, tarikh hari ini iaitu 1 mei merupakan hari di mana jasa dan sumbangan buruh akan dihargai melalui sambutan hari pekerja di pelbagai peringkat. Namun begitu, apakah asas atau peristiwa yang membawa kepada penghargaan ini.

Secara umum, sistem pekerjaan yang wujud pada hari ini banyak dipengaruhi oleh kewujudan sistem pekerjaan yang mula wujud sejak terjadinya Revolusi Industri yang pertama di Britain. Keadaan ini telah mengubah sistem pengeluaran yang lebih bercorak 'sistem cottage' kepada sistem pengeluaran berasaskan perindustrian iaitu kewujudan kilang dan perusahaan. Sistem ini menempatkan sebilangan besar buruh yang bekerja untuk golongan pemodal dengan ganjaran dan upah yang tertentu berdasarkan jenis pekerjaan yang dilakukan. Dalam konteks tersebut telah wujud pertentangan di antara dua golongan iaitu pihak buruh dan pihak kapitalis seperti yang dianalisis oleh Karl Marx sebagai golongan proletariat dan bourjouise. 

Disebabkan sistem ini dikuasai oleh golongan pemodal, maka berlaku ketidakseimbangan kuasa yang menyebabkan pihak pemodal lebih cenderung untuk meningkatkan keuntungan dan pada masa yang sama telah mengabaikan kebajikan dan kepentingan golongan pekerja. Fenomena ini digelar sebagai 'class struggle' yang menurut Karl Marx lagi sebagai ciri utama yang menyebabkan perubahan dalam masyarakat. Bagi menyeimbangkan kuasa tersebut, maka Karl Marx dan Engels telah memperjuangkan fahaman marxisme dengan menekankan tentang kebaikan gerakan sosialis dalam masyarakat. Kaedahnya adalah dengan menyatukan para pekerja dalam satu gerakan bagi memperjuangkan kebajikan para pekerja ke arah yang lebih baik.

Akhirnya fahaman ini telah berkembang di pelbagai tempat, dan berlaku kebangkitan para pekerja yang akhirnya telah mengukuhkan organisasi pekerja dengan gelaran Kesatuan Sekerja. Hasil perjuangan tersebut, maka pelbagai perubahan telah berlaku dengan mengambil kira kepentingan para pekerja termasuklah sambutan 'Hari Pekerja'. Pengiktirafan ini telah bermula di Kanada pada tahun 1870-an dan seterusnya di Amerika Syarikat pada tahun 1880-an. Ia digerakkan melalui perjuangan kesatuan bagi mendapatkan 8 jam masa bekerja, 8 jam masa berehat, dan 8 jam untuk keperluan masing-masing. (A Job Thing Blog)
8 Jam: Kerja: Rehat: Lain


Dalam konteks Malaysia, pengisytiharan ini hanya dilakukan 100 tahun selepas kejadian di atas iaitu pada 20 Mei 1972 apabila Timbalan Perdana Menteri mengumumkan 1 mei sebagai cuti umum di Malaysia meskipun pengaruh dan perjuangan kesatuan sekerja telah bermula sejak tahun 1920-an lagi. Keadaan ini, tentunya dapat menggambarkan berkaitan kesan dan kepentingan kesatuan sekerja dalam memperjuangkan kebajikan para pekerja dan turut dipengaruhi oleh dasar pentadbiran pemerintah.

Berkaitan ini, bolehlah membaca artikel bertajuk "Dasar Perburuhan dan Impaknya terhadap Pergerakan Kesatuan Sekerja di Malaysia (2019)". Dalam kesimpulannya, penulis menegaskan berkaitan perubahan corak pergerakan kesatuan sekerja yang semakin tidak berpengaruh kesan dasar yang telah diperkenalkan.

Sambutan tahun ini, agak istimewa disebabkan hampir kebanyakan pekerja telah berubah corak pekerjaan kesan Perintah Kawalan Pergerakan bagi menangani wabak Covid-19.

Selamat Hari Pekerja 2020.

#Stayathome
#Workfromhome


Tiada ulasan: