Hari guru dan kebiasaan untuk mengucapkan selamat dan terima kasih termasuklah kepada para pensyarah dan dua hari sebelum itu, 14.5.2024 kami telah lakukan sesuatu..
Dan di pagi hari komenku Pensyarah dulu-dulu lwn Pensyarah baru-baru.
1. Pensyarah dulu-dulu membuka kuliah dengan mukaddimah elemen minda dan jiwa. Tanpa mengenali diri, hidup akan tersia.
Pensyarah baru-baru bermula dengan objektif hari ini dan apa yang akan dipelajari hari ini. Objektif kuliah, yang selaras dengan borang penawaran kursus adalah 'kontrak sosial' yang lebih penting dari segalanya.
2. Pensyarah dulu-dulu memberikan syarahan. Sarat dengan teori dan perkara-perkara baharu yang berkaitan. Gabungan yang mempersona antara teori, aplikasi, khayalan dan hidup (praktikal).
Pensyarah baru-baru mengendalikan kelas, dengan pengajaran berstruktur, hampir tiada bahan bacaan selain nota kuliah, dan liputan kuliah mesti 100% untuk penilaian.
3. Pensyarah dulu-dulu memberikan latih tubi dengan kerja-kerja tambahan dan puluhan helaian tutorial adalah perkara biasa.
Pensyarah baru-baru perlu mengira SLT sebelum memberikan kerja tambahan, agar pelajar tidak terbeban. Pensyarah menyesuaikan diri dengan pelajar, atau pelajar menyesuaikan diri dengan pensyarah, atau sama-sama menyesuaikan diri, ataupun dua-dua sudah tak kisah? 😖
4. Pensyarah dulu-dulu merekabentuk soalan peperiksaan dengan jiwa. Berstruktur, bermula dengan teori asas, pengiraan, dan pendapat/pemikiran aras tinggi.
Pensyarah baru-baru merangka soalan berdasarkan pilihan perkataan dari senarai taksonomi Bloom dan setiap satu soalan akan mewakili hanya satu hasilan kursus (CO).
5. Pensyarah dulu-dulu berkongsi senarai bahan bacaan.
Pensyarah baru-baru berkongsi nota kuliah. Hahaha...
6. Pensyarah dulu-dulu pintunya sentiasa terbuka, memberi peluang kepada pelajar untuk mendekati mereka. Bersembang hal dunia, politik, sosio-ekonomi, diri, jiwa dan rohani. Bukan kuliah sahaja.
Pensyarah baru-baru pintunya tertutup rapat, sibuk melunaskan KPI peribadi di samping menyelesaikan tuntutan kertas-kertas pengurusan dan pentadbiran. Input luar kelas dari pensyarah kepada pelajar semakin kurang, dan tidak lagi terlibat secara terus dengan aktiviti pembangunan pelajar. Tambahan pula, pengajaran yang penuh jiwa dan lain-lain hasilan pengajaran tidak setaraf dengan hasilan penerbitan penyelidikan dalam proses kenaikan pangkat.
7. Pensyarah dulu-dulu adalah penghibur, gerak tari mereka di atas pentas dan suara mereka yang berlagu, mempunyai warna dan identiti tersendiri, menyebabkan mereka akan sentiasa diingati. Pensyarah baru-baru penyampaiannya kononnya secara aktif, dengan slaid powerpoint yang berbunga-bunga dan video-video kuliah di alam maya. Namun, ramai anak murid akan lupa usaha mereka kerana kononnya persembahan baharu tidak berjiwa seperti pensyarah dulu-dulu.
Salam Hari Guru, rakan-rakan, pensyarah-pensyarahku.
Terima kasih kerana mendidikku dengan persembahan yang bergaya.
Ampuni aku anak-anak muridku.
Persembahan lakonan aku mandul dengan skrip kawalan kualiti yang lemah dan tuntutan KPI lain yang memacung keghairahan aku.
Aku tahu ini semua tak betul.
PakDin
-Pensyarah Cabuk Sahaya Institusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan